Tuesday 7 April 2015

Jamboree mana kome minggu ini?

Gambar hiasan: Jamboree disertai oleh
peserta pelbagai peringkat kayuhan

Tak perlu diperkenalkan lagi apa itu jamboree kerana yang layan basikal bukit (mtb) sudah menjadi aktiviti mingguan wajib mereka. Utara atau selatan, timur atau barat ada sahaja acara jamboree, paling kurang 1000 peserta akan hadir untuk sertai acara itu. Yuran penyertaan RM50 dengan pelbagai goodies dan cabutan bertuah menjadi taruhan penganjur untuk menarik sebarapa banyak peserta yang boleh. Namun jika dilihat untuk jangka masa panjang apa sebenarnya hala tuju acara jamboree ini?

Ramai yang semakin lupa maksud asas akan acara jamboree itu diadakan. Jamboree jika dilihat dari segi maksud konsep sebenar ialah sebuah acara untuk golongan amatur dan beginner berbasikal dengan laluan off-road yang sederhana untuk mereka belajar dan meningkatkan kemahiran kayuhan sebelum ke peringkat yang seterusnya. Namun berbeza di negara ini acara jamboree sudah menjadi seakan perlumbaan dengan penyertaan pelumba pro bertaraf kebangsaan. Ia bagus untuk menarik lebih ramai peminat berkayuh dan memeriahkan suasana namun acara berkayuh yang pada mulannya seakan santai sudah menjadi seperti acara yang mementingkan kelajuan dan perlumbaan dengan pantas. Hadiah pula tidak kurang hebat ada yang menawarkan wang tunai RM1000 untuk juara yang sudah pasti menarik pelumba-pelumba 'cari makan' beraksi.

Pada pandangan saya penganjur perlu mengasingkan kategori mengikut tahap individu pelumba. Ya, sudah pasti akan ada kerja yang lebih serta urusan kiraan mata untuk pelumba namun ia baik untuk riders bagi jangka masa panjang. Sebagai contoh wujudkan kategori pelumba pro, veteran, junior veteran, terbuka dan junior. Saya melihat jamboree ini sebagai medan mencungkil bakat-bakat baharu dan bukan hanya datang untuk jersi dan goodies yang best semata.

Shahrin Amir antara nama besar dalam sukan MTB negara.
Perlu ada pelapis dan jamboree merupakan medan yang sesuai dalam
melahirkan bakat-bakat baru.


KIRAAN MATA SETIAP ACARA JAMBOREE
Sejak jamboree popular 5 tahun kebelakangan ini dengan kehadiran ribuan peserta namun berapa banyak jaguh mtb yang berjaya muncul mewakili negara dengan prestasi memberangsangkan di peringkat Asia Tenggara atau di kejohanan Sukan SEA? Meskipun akan ada yang berkata itu urusan PKBM namun di sini penganjur-penganjur jamboree dari seluruh negara boleh bergabung untuk sirkit dengan memperkenalkan kiraan mata setiap pusingan. Mungkinkah akan berhasil?

Untuk kategori peserta terbuka juga boleh mengumpul mata yang sama tapi mesti bukan dari pelumba yang mewakili negara atau negeri. Semua mesti amatur. Biar yang hebat bersaing dengan yang hebat bukannya umpama langit dan bumi jadi ia tidak dapat mewujudkan saingan yang kompetetif.

Pada pandangan saya setiap penganjur boleh berbincang bersama-sama dalam memilih tarikh kalendar agar tidak bertindih. Namun mencari kesepakatan itu saya akui sangat sukar namun tidak mustahil dilakukan.

Kategori XCO yang diperkenalkan ketika edisi Harian Metro GP
tahun pertama merupakan satu langkah yang terbaik dalam mengasingkan
kategori pelumba pro, amatur dan santai. 

Bagi saya penganjur perlu memberi keseronokkan menunggang di dalam kawasan off-road dan jangan disekat dengan terlalu banyak laluan berbukit ekstrem di mana peserta lebih banyak menolak dari mengayuh basikal. Namun untuk kategori Elit laluan nyata sedikit berbeza kerana mereka dari golongan yang advance dan berprestasi. Ya seperti saya katakan tadi akan ada kerja yang lebih untuk penganjur namun ia baik untuk kemajuan aktiviti berbasikal mtb ini.


CABUTAN BERTUAH
Cabutan bertuah itu penting namun jangan hanya kerana goodies bag dan jersi menjadikan kita tidak dapat menghasilkan bakat-bakat baru. Di Eropah atau Amerika Syarikat penganjuran diadakan sangat simple tanpa banyak goodies namun objektif mereka dalam mencari bakat dan prestasi tercapai. Jika kita masih leka dan seronok dibuai goodies maka semakin jauh untuk menghasilkan pelumba baru berbakat terutama MTB. Janganlah kita asyik hanya menjadi penganjur terbaik tapi di peringkat yang lebih tinggi dan antarabangsa tiada langsung pelumba kita menaiki podium ataupun berpeluang beraksi pentas terbaik dunia.


Moral of the stories: Pasti yang akan berkata kami hanya kayuh untuk suka-suka sahaja bila jamboree. Namun saya lihat ramai yang serius malah ada yang ketika hampir tiba di garisan penamat memecut umpama perlumbaan sebenar dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh. Tidak salah untuk kayuh suka-suka dan tidak salah juga untuk kayuh serius. Oleh kerana itu pengasingan kategori itu perlu untuk bersaing secara sihat. Semoga penganjuran jamboree ini akan mengubah landskap sukan berbasikal negara dengan menghasilkan bakat-bakat baru yang lebih ramai untuk diketengahkan sebagai pelumba negara. Bukan lagi sebagai jamboree untuk memuaskan hati penaja dengan menggantung sepanduk dan banner jenama mereka....


Gambar hiasan: Jamboree untuk keseronokkan berkayuh dalam
suasana santai dan ceria.