Tuesday, 7 April 2015

Jamboree mana kome minggu ini?

Gambar hiasan: Jamboree disertai oleh
peserta pelbagai peringkat kayuhan

Tak perlu diperkenalkan lagi apa itu jamboree kerana yang layan basikal bukit (mtb) sudah menjadi aktiviti mingguan wajib mereka. Utara atau selatan, timur atau barat ada sahaja acara jamboree, paling kurang 1000 peserta akan hadir untuk sertai acara itu. Yuran penyertaan RM50 dengan pelbagai goodies dan cabutan bertuah menjadi taruhan penganjur untuk menarik sebarapa banyak peserta yang boleh. Namun jika dilihat untuk jangka masa panjang apa sebenarnya hala tuju acara jamboree ini?

Ramai yang semakin lupa maksud asas akan acara jamboree itu diadakan. Jamboree jika dilihat dari segi maksud konsep sebenar ialah sebuah acara untuk golongan amatur dan beginner berbasikal dengan laluan off-road yang sederhana untuk mereka belajar dan meningkatkan kemahiran kayuhan sebelum ke peringkat yang seterusnya. Namun berbeza di negara ini acara jamboree sudah menjadi seakan perlumbaan dengan penyertaan pelumba pro bertaraf kebangsaan. Ia bagus untuk menarik lebih ramai peminat berkayuh dan memeriahkan suasana namun acara berkayuh yang pada mulannya seakan santai sudah menjadi seperti acara yang mementingkan kelajuan dan perlumbaan dengan pantas. Hadiah pula tidak kurang hebat ada yang menawarkan wang tunai RM1000 untuk juara yang sudah pasti menarik pelumba-pelumba 'cari makan' beraksi.

Pada pandangan saya penganjur perlu mengasingkan kategori mengikut tahap individu pelumba. Ya, sudah pasti akan ada kerja yang lebih serta urusan kiraan mata untuk pelumba namun ia baik untuk riders bagi jangka masa panjang. Sebagai contoh wujudkan kategori pelumba pro, veteran, junior veteran, terbuka dan junior. Saya melihat jamboree ini sebagai medan mencungkil bakat-bakat baharu dan bukan hanya datang untuk jersi dan goodies yang best semata.

Shahrin Amir antara nama besar dalam sukan MTB negara.
Perlu ada pelapis dan jamboree merupakan medan yang sesuai dalam
melahirkan bakat-bakat baru.


KIRAAN MATA SETIAP ACARA JAMBOREE
Sejak jamboree popular 5 tahun kebelakangan ini dengan kehadiran ribuan peserta namun berapa banyak jaguh mtb yang berjaya muncul mewakili negara dengan prestasi memberangsangkan di peringkat Asia Tenggara atau di kejohanan Sukan SEA? Meskipun akan ada yang berkata itu urusan PKBM namun di sini penganjur-penganjur jamboree dari seluruh negara boleh bergabung untuk sirkit dengan memperkenalkan kiraan mata setiap pusingan. Mungkinkah akan berhasil?

Untuk kategori peserta terbuka juga boleh mengumpul mata yang sama tapi mesti bukan dari pelumba yang mewakili negara atau negeri. Semua mesti amatur. Biar yang hebat bersaing dengan yang hebat bukannya umpama langit dan bumi jadi ia tidak dapat mewujudkan saingan yang kompetetif.

Pada pandangan saya setiap penganjur boleh berbincang bersama-sama dalam memilih tarikh kalendar agar tidak bertindih. Namun mencari kesepakatan itu saya akui sangat sukar namun tidak mustahil dilakukan.

Kategori XCO yang diperkenalkan ketika edisi Harian Metro GP
tahun pertama merupakan satu langkah yang terbaik dalam mengasingkan
kategori pelumba pro, amatur dan santai. 

Bagi saya penganjur perlu memberi keseronokkan menunggang di dalam kawasan off-road dan jangan disekat dengan terlalu banyak laluan berbukit ekstrem di mana peserta lebih banyak menolak dari mengayuh basikal. Namun untuk kategori Elit laluan nyata sedikit berbeza kerana mereka dari golongan yang advance dan berprestasi. Ya seperti saya katakan tadi akan ada kerja yang lebih untuk penganjur namun ia baik untuk kemajuan aktiviti berbasikal mtb ini.


CABUTAN BERTUAH
Cabutan bertuah itu penting namun jangan hanya kerana goodies bag dan jersi menjadikan kita tidak dapat menghasilkan bakat-bakat baru. Di Eropah atau Amerika Syarikat penganjuran diadakan sangat simple tanpa banyak goodies namun objektif mereka dalam mencari bakat dan prestasi tercapai. Jika kita masih leka dan seronok dibuai goodies maka semakin jauh untuk menghasilkan pelumba baru berbakat terutama MTB. Janganlah kita asyik hanya menjadi penganjur terbaik tapi di peringkat yang lebih tinggi dan antarabangsa tiada langsung pelumba kita menaiki podium ataupun berpeluang beraksi pentas terbaik dunia.


Moral of the stories: Pasti yang akan berkata kami hanya kayuh untuk suka-suka sahaja bila jamboree. Namun saya lihat ramai yang serius malah ada yang ketika hampir tiba di garisan penamat memecut umpama perlumbaan sebenar dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh. Tidak salah untuk kayuh suka-suka dan tidak salah juga untuk kayuh serius. Oleh kerana itu pengasingan kategori itu perlu untuk bersaing secara sihat. Semoga penganjuran jamboree ini akan mengubah landskap sukan berbasikal negara dengan menghasilkan bakat-bakat baru yang lebih ramai untuk diketengahkan sebagai pelumba negara. Bukan lagi sebagai jamboree untuk memuaskan hati penaja dengan menggantung sepanduk dan banner jenama mereka....


Gambar hiasan: Jamboree untuk keseronokkan berkayuh dalam
suasana santai dan ceria. 




Tuesday, 17 March 2015

Kayuh Malam Tak Perlu Guna Lampu?

LAMPU PENTING UNTUK ANDA MUDAH DILIHAT. JANGAN ABAIKAN!

Foto dari sumber: www.billbonebikelaw.com

Foto: alexscycle.org

Baru-baru ini ada seorang teman berkongsi kisah perjalanannya di lorong motosikal Lebuhraya KESAS pada malam hari. Bertemu sekumpulan penunggang basikal tanpa ada lampu belakang dan seakan menghalang laluan, mungkin berkayuh di tengah-tengah jalan daripada sepatutnya di sebelah kiri jalan. Sudah tentu pengayuh akan marahkan penunggang motor sebab tidak menghormati penunggang basikal dan begitulah juga sebaliknya. Namun walau apa pun kita semua perlu hormat menghormati sesama pengguna jalan raya yang lain.

Kita perlu faham dua situasi ini. Penunggang motor kebanyakannya mungkin baru pulang dari kerja menuju ke rumah. Manakala kita berbasikal pada sebelah malam hanya untuk tujuan rekreasi dan kecergasan sambil bergembira bersama teman-teman. Adakala mereka keletihan dan pandangan pada sebelah malam agak terhad. Untuk mudah dilihat, seeloknya setiap penunggang basikal perlu menggunakan lampu depan dan belakang, serta jersi yang cerah dan jika ada dari jenis yang pemantul cahaya adalah lebih bagus.

Saya pernah saksikan sendiri dalam sekumpulan pengayuh basikal menggunakan laluan motor di Lebuhraya Persekutuan pada malam hari dan ada seorang dua yang tidak menggunakan lampu. Ini bukan sahaja berbahaya malah boleh menyebabkan kemalangan kepada rakan-rakan yang lain. Kita perlu mengambil sikap kerjasama iaitu dengan lebih banyak lampu dalam satu kumpulan maka akan lebih mudah anda dilihat oleh penunggang motosikal yang lain.

Perkara wajib berbasikal pada sebelah malam ialah:
1) Lampu hadapan
2) Lampu Belakang
3) Jersi Cerah

Sebelum nak upgarde basikal atau tujuan lain, sekiranya ada niat untuk berkayuh pada malam hari pastikan tiga perkara ini dipenuhi dahulu. Jadikan ia sebagai tanggunjawab kepada diri dan juga kepada rakan-rakan pengayuh yang lain. Dah ada lampu letaklah di kerangka basikal. Jangan letak di dalam poket belakang jersi sebab pencahayaannya terlindung dan tidak secerah seperti di tempat yang sepatutnya.

PASTIKAN anda berkayuh pada sebelah kiri dalam satu barisan. Jangan pula bersembang-sembang sambil bergelak ketawa yang akan mengakibatkan hilang kawalan. Ini adalah kerana anda tidak dapat melihat motosikal yang datang dari arah belakang selaju mana. Jadi pastikan disiplin berkayuh diikuti. Ini semua bukan lagi masalah kemudahan tapi lebih kepada sikap semua daripada kita berada di atas jalan raya.

Moral of the story: Dalam satu kumpulan kayuh akan ada 2-3 orang yang suka buat kepala sendiri. Harap mana-mana yang mengetuai ingatkan sesama rakan sendiri untuk mengutamakan elemen keselamatan sebelum dan semasa berkayuh. Semoga anda selamat dan gembira berkayuh pada malam hari!


INFO SISI: Lampu Indikator Garisan Jalan dari Virtual Safety Lane


Di United Kingdom pengayuh basikal di sana sudah mula menggunakan sebuah lampu yang bukan sahaja menjadi lampu belakang basikal tapi mewujudkan garisan lazer anda sendiri di atas jalan ketika berkayuh. Produk keluaran Amerika Syarikat ini bukan sahaja menjadikan anda lebih jelas kelihatan malah pemandu lain akan tahu jarak mereka dengan anda dengan lebih jelas. Jarak lebar garisan ialah 3 kaki manakala panjang 6 kaki. Untuk malumat lanjut boleh layari; www.hammacher.com


Foto:www.dailymail.co.uk

Lampu yang menggunakan 4 bateri AAA dibuat daripada
material polikarbonat serta tahan lasak. Lampu boleh bercahaya secara tetap atau berkelip. 
Foto:www.dailymail.co.uk
Foto:www.dailymail.co.uk



Harga sekitar USD40.00 bersamaan RM148
www.hammacher.com

www.hammacher.com


Friday, 6 March 2015

Good Morning America - PART 2


Kemudahan mengunci basikal terdapat di sepanjang jalan raya. 
Sistem pengangkutan awam di L.A. menyediakan rel mengangkut
basikal di hadapan bas

SAMBUNGAN daripada kisah ke Amerika Syarikat pada 2012 kali ini saya akan menceritakan tentang suasana berbasikal di sana. Bila dilihat kembali sebenarnya faktor cuaca antara sebab utama basikal boleh menjadi gaya hidup. Terus terang saya katakan jika di Malaysia kegiatan berbasikal lebih sesuai sebagai aktiviti rekreasi hujung minggu daripada sebagai aktiviti harian terutama jika ke tempat kerja. Berkesempatan menginap di Los Angeles selama tiga hari dapat saya lihat berbasikal salah satu cara hidup masyarakat di sana terutama sekali sebagai pengangkutan harian.

Faktor cuaca yang dingin selain sistem kemudahan pengangkutan awam yang baik menjadikan basikal boleh digunakan ke tahap maksima di Amerika Syarikat. Saya bersiar-siar pada malam hari di kawasan downtown Los Angeles dilihat ramai sekali yang berbasikal terutama golongan pekerja bawahan. Di sini ramai juga yang datang dari Amerika Latin melihat akan raut wajah mereka. Seperti Malaysia ramai pendatang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dll begitu juga di Amerika. Masyarakat Amerika Latin paling ramai yang berhijrah atau menyeludup masuk kerana ingin mencari kehidupan yang lebih baik di negara itu.

Penghantar makanan dan pizza juga menggunakan basikal menghantar pesanan ke kediaman di sana yang rata-rata dari jenis bertingkat seperti apartmen. Kemudahan meletak dan mengunci basikal juga banyak terdapat di kawasan sekitar. Lorong berbasikal juga terdapat di jalanraya di sana. Di Malaysia ramai yang mahukan lorong basikal tapi pada pandangan saya penggunaannya hanya minima. Sudah pasti ada kos yang terlibat dalam membina laluan ini yang kemudian mungkin hanya akan digunakan pada sebelah malam atau hujung minggu pagi sahaja. Lain jika di USA atau Eropah, penggunaan hariannya amat tinggi. Lagipun sikap pemandu di Amerika Syarikat menghormati pejalan kaki dan pengayuh basikal menjadikan keselamatan lebih terjamin. Kalau di Malaysia, jika nak melintas kena hati-hati tengok kenderaan yang datang, tapi di sana setiap kali ingin melintas jalan, pemandu kenderaan akan memberhentikan kereta walaupun yang memandu tue ala-ala nigre gangster dengan rantai basikal di leher serta bertatu :-D.

+ Moral of the story: Walaupun kita sediakan kemudahan bertaraf dunia, tapi sikap serta mentaliti masyarakat kita macam dunia ketiga tak mahunya yop! Apa yang paling penting ialah sikap menghormati pengguna jalan raya yang lain....

Lihat suasana berbasikal di sekitar Los Angeles untuk tatapan anda semua.


Kebanyakkan kedai makanan di sana menggunakan basikal untuk penghantaran

Sistem pengangkutan awam yang baik memudahkan penggunaan basikal
sebagai gaya hidup

Basikal kihdimat pesanan makanan milik restoran di sana 
Domino Pizza juga menghanytar pizza yang dipesan
menggunakan basikal jenama Trek

Laluan basikal banyak terdapat di Sana
Suasana kehidupan masyarakat downtown
Los Angeles.
Basikal sebagai opsyen untuk pengangkutan harian,

Thursday, 26 February 2015

Good Morning America! - PART 1

Pertama kali menjejak bumi Amerika Syarikat pada 2012.

ALHAMDULILLAH sepanjang bersama majalah basikal dahulu, saya berkesempatan berkunjung ke Amerika Syarikat sebanyak 2 kali iaitu pada 2012 (Utah) dan 2013 (Colorado). Saya akan kongsikan pengalaman di sana terutama yang berkaitan basikal.

Jenama basikal Specialized setiap tahun akan melancarkan model terbaharu. Jadi mereka akan menjemput media dari seluruh dunia untuk datang ke sana dan menguji semua basikal-basikal yang baru. Malaysia melalui Specialized Malaysia (Gin Huat) telah membawa 3 wakil media yang sering bekerja rapat dengannya terutama di mana ia beriklan.

Namun ke USA bukan senang bro terutama sekali yang membabitkan hal passport dan visa. Untuk Visa ke sana sahaja bernilai RM500. Perlu ditemuduga dahulu dan jika berjaya baru dapat. Jika gagal, perlu bayar dan temuduga lagi. Begitulah kaedahnya. Temuduga pula perlu bawa surat jemputan ke sana dari Specialized, dokumen-dokumen diri, Surat nikah, salinan penyata akaun dan macam-macam lagi yang boleh melihatkan diri kita yang stabil di negara ini.  Kira bukan macam nak stay kat USA lama-lama lah lepas tue atau cari kerja di sana. Saya tunjukkan carta proses nak apply visa di bawah:

Isi Borang Online apply visa ke USA
|
Buat pembayaran hanya di bank Standard Chartered
|
Letak nombor bayaran ketika aplikasi online
|
Pilih tarikh temuduga juga secara online
|
Setelah dapat tarikh temuduga, pastikan pergi awal kerana ramai yang akan apply pada hari yang sama dan beratur panjang di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, KL.
|
Setelah masuk anda akan diberi nombor giliran
|
Tunggu sehingga nombor dipanggil dan anda akan ditemuduga di kaunter jadi jawab dengan yakin.

PENTING!
+ Jangan lupa bawa semua dokumen penting diri.
+ Gambar VISA (bground putih) bawa siap-siap
+VISA USA akan diberi berbeza jangka masa mengikut individu. Ada yang hanya 3 bulan dan maksima ialah 10 tahun. Saya tempoh hari hanya dapat 5 tahun sahaja.

+ Ada permohonan yang boleh lulus dalam tempoh kurang sebulan. Ada yang sehingga 6 bulan dan begitulah kisahnya tentang visa ke Amerika ini. Semuanya subjektif. Bukan mudah tapi jika anda sudah memilikinya akan melancarkan urusan untuk mendapat kelulusan bagi permohonan negara-negara yang lain kelak. 

Maka pada Julai 2012 saya pun terbang buat pertama kali ke Amerika Syarikat dengan penerbangan MAS dari KLIA menuju ke Narita - LA. Sekitar gambar saya di Lapangan Terbang Tom Bradley, Los Angeles (LAX)

+ Kenangan yang tak boleh dilupakan ialah dipanggil oleh pegawai imigresen ketika mahu cop masuk ketibaan sebab ambil gambar di kawasan itu. Mujur tak ada apa-apa yang serius. Imigresen sana ada pistol woooo. :-D

Muka keletihan setelah mengharungi penerbangan lebih 18 jam. Suasana
 di ruang ketibaan Terminal Antarabangsa Tom Bradley, Lapangan Terbang LA.

Bangunan berbentuk kapal angkasa berdekatan lapangan
terbang ini merupakan sebuah restoran.
LAX - Singkatan destinasi penerbangan untuk Los Angeles.

Friday, 20 February 2015

Modal RM500 untuk berbasikal!

RM500 Kerangka besi

RM799 Kerangka besi dengan komponen Shimano

Ada yang habis berpuluh, belas dan ribuan ringgit untuk sebuah basikal, namun anda tidak perlu mengikut cara itu. Yang penting walaupun basikal murah, kesihatan anda merupakan tujuan utama anda berbasikal. Jangan nanti jika hanya nak basikal gempak duit banyak dilaburkan, tapi selepas 6 bulan dah malas nak kayuh. Tahukah anda, cukup hanya dengan modal RM500 sudah boleh berkayuh. Pelbagai pilihan model yang terdapat di pasaran dan mulakan dengan basikal yang mampu milik. Antara peralatan asas yang perlu anda beli untuk berbasikal ialah:

1. Basikal RM500 (Kerangka keluli dan grupset jenama biasa)
2. Topi keledar RM50
3. Sarung tangan RM45

Ini antara peralatan asas untuk anda berkayuh. Untuk pakaian pula anda boleh pakai pakaian sukan yang selesa dan kasut sukan. Mudah bukan?

Jadi dengan jumlah keseluruhan sekitar RM600 (termasuk helmet dan glove) pun anda sudah boleh berkayuh!

Tak perlu mahal untuk memulakan aktiviti ini.

Moral of the story: Jika ada bajet belilah basikal mahal pun takpa. Namun anda belum tahu sejauh mana atau berapa lama anda akan terlibat dalam aktiviti ini. Mulakan dengan kos yang paling minima dan upgrade basikal bergantung akan bagaimana serius anda berkayuh nanti. Cuba dulu dalam 3-6 bulan dan anda akan tahu sendiri hala tuju dalam aktiviti ini. 

RM55

RM45
Ada Bajet boleh beli model ini. Triace A318. Roda 26" RM1750 sahaja. :-D



Wednesday, 18 February 2015

Melawat Kilang Basikal



Pelakon Esma Daniel juga masa ini dibawa melawat oleh tauke XDS Malaysia.

SEKITAR 2013 saya berkesempatan melawat kilang pembuatan basikal di negara China. Berkunjung ke daerah Guangdong, Shenzen di mana kilang basikal XDS ditempatkan ia memberi satu pengalaman baru. Walaupun jenama XDS di Malaysia bukan pilihan utama untuk anda, namun mereka sebenarnya adalah antara pengeluar basikal yang terbesar di negara China dan dunia. Kompleks kilang dengan bahagian pengeluaran, ibu pejabat serta asrama staf disediakan di sini. Paling menarik ialah trek lumba basikal bukit (MTB) dibina di bahagian belakang kilang siap sekali dengan grandstand! kayuh lah sampai lebam.

Sebenarnya kebanyakan jenama basikal di dunia dihasilkan di kilang XDS. Termasuklah kebanyakan yang dijual di Malaysia. Jika anda ada modal yang mencukupi boleh datang ke sini dan tempah dalam kuantiti satu kontena atau lebih untuk jenama basikal anda sendiri seperti yang pengedar-pengedar utama basikal di Malaysia praktikkan. Di XDS semua pun boleh asal ada ongkosnya!

Mereka memulakan dengan sebatang besi keluli sebelum ia dipotong-potong untuk dijadikan kerangka basikal. Dari proses mengecat sehingga pemasangan komponen dilakukan di sini. Selain itu di sebuah lokasi lain, ditempatkan pula kilang penghasilan kerangka karbon. Jenama-jenama ternama di dunia turut dihasilkan di sini. XDS memiliki teknologi penghasilan karbon dari benang sehingga menjadi material seumpama kertas sebelum penghasilan kerangka basikal sama ada untuk road bike atau mtb dilakukan.

Bila ditanya best tak melawat kilang basikal? Untuk pengalaman baru, ya ia menarik untuk mengetahui bagaimana penghasilan basikal dari 'zero' menjadi sebuah yang boleh ditunggang. Lain-lain sama macam di kedai basikal tengok tauke pasang brek, tayar dan komponen lain. :-) Cuma bezanya di China dan di Shah Alam itu sahaja. :-)

INFO:
Diasaskan: 1995
Keluasan kilang: 450 ekar
Jenama XDS dieksport ke lebih 50 negara seluruh dunia.
Trek MTB mendapat pengiktirafan UCI dengan perlumbaan tempatan dan antarabangsa dianjurkan di sini.

Di bawah ini saya kongsikan gambar-gambar kenangan ketika berkunjung ke sana:

Ibu Pejabat XDS di Shenzen, China.

Basikal milik pekerja.

Asrama penginapan pekerja kilang XDS.

Antara kerangka dan basikal MTB yang dihasilkan di kilang ini.

Trek basikal MTB dengan grandstand.
Setiap hujung minggu trek ini akan dipenuhi peminat basikal. 

Mendapat pengiktirafan UCI.
Pelbagai jenis kerangka karbon boleh dipilih untuk dihasilkan.

Monday, 16 February 2015

Antara Keluarga & Basikal



Agar Famili happy, anda pun happy

Bila berbasikal sudah pasti akan ada masa perlu dibahagi antara keluarga dan aktiviti berkayuh. Namun walau bagaimanapun famili mesti mejadi keutamaan anda. Bahagikan masa dengan bijak.

Pilih hari yang sesuai untuk berkayuh. Selalunya pada sebelah pagi setiap Sabtu antara masa yang paling ideal. Ini adalah kerana Sabtu kita sering penuh dengan aktiviti. Jemputan perkahwinan, nak balik kampung dsbnya. Manakala hari Ahad hari untuk bersama keluarga sepenuhnya. Terutama jika ada anak-anak yang masih kecil atau bersekolah perlu dijenguk-jenguk juga homeworknya.

Sekiranya bercuti di kawasan yang sesuai untuk berkayuh anda boleh bawa sekali basikal. Ambil peluang berkayuh pada sebelah pagi dan selebihnya untuk keluarga. Atau mengapa tidak hanya sewa /gunakan basikal di resort dan berkayuh bersama anak-anak dan isteri. Itu lebih baik...asalkan anda dapat berkayuh bersama. Memudahkan urusan anda tanpa perlu bawa basikal sendiri.

Perlu dilihat apa sebenarnya tujuan asal anda berkayuh? Dari tujuan di bawah kita boleh lihat masa yang anda akan gunakan sama ada:

1. Mahu kekal sihat dan cergas
2. Mahu ke peringkat pertandingan/kejohanan

Mahu kekal cergas
- Sasarkan aktiviti berbasikal anda seminggu sekali sudah memadai. Namun jika mahu kekal cergas pilihlah 3 kali seminggu sekiranya ada masa terluang. Jika tidak sekali sudah memadai untuk cergas.
- Basikal tahap sederhana sudah sesuai.
- Jarak kayuhan sederhana di sekeliling taman/ kawasan perumahan (10-15km/30minit). Faktor keselamatan perlu diambil kira.

Kekal cergas bersama keluarga. Foto: http://www.forestry.gov.uk/


Mahu ke peringkat pertandingan / kejohanan
- Jadual dan masa kayuhan perlu anda tetapkan dan lakukan dengan konsisten. Sertai individu atau kelab yang sering ke kejohanan atau jamboree untuk mendapatkan rentak kayuhan dan latihan.
- Pemakanan perlu dijaga lebih teliti.
- Penambahbaikan pada komponen basikal perlu dilakukan dari masa ke masa.
- Sesuai untuk mereka yang masih berusia 35 tahun ke bawah dan bekerja sendiri kerana boleh membahagikan masa dengan mudah.
- Jika usia 35 tahun dan ke atas perlu dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui tahap kecergasan anda. Ini adalah kerana anda yang kes pengayuh basikal menyertai acara kayuhan dan jamboree meninggal dunia sebelum ini.
- Jarak kayuhan minima sekitar 50km dalam satu sesi

Perlumbaan MTB peringkat antarabangsa

+Jika anda mahu lebih serius pasti banyak masa akan digunakan. Namun keluarga perlu diutamakan melainkan anda memang hanya menyara kehidupan sebagai seorang atlit. Kerjaya juga perlu diseimbangkan di antara minat berbasikal ini kerana anda sendiri yang boleh menilai mana lebih baik untuk keseluruhannya.


Tuesday, 10 February 2015

Basikal Lipat Berbaloi Nak Beli?

Berbaloi atau tidak hendak membeli sebuah basikal lipat?




Basikal Lipat jenama Strida dengan kerangka asas berbentuk huruf 'A'
Jenama Tyrell dari Jepun dengan handle road bike
Pelbagai teknologi terdapat pada basikal lipat seperti brek cakera dan
tali sawat kevlar bertahan sehingga 80,000km




Ayuh lihat kelebihan basikal lipat:
1. Mudah untuk disimpan serta jimat ruang terutama yang tinggal di kediaman apartmen.
2. Mudah dibawa terutama ketika ingin memuatkan ia di dalam kereta. 
3. Sesuai untuk semua peringkat usia dan jantina (Lelaki, Wanita, Remaja lelaki atau anak gadis, Warga emas)
4. Mudah untuk dipasang serta untuk dilipat.
5. Boleh dibawa menggunakan kenderaan awam setelah basikal dilipat.

Kekurangan:
1. Roda yang kecil akan membuatkan anda akan berkayuh lebih dari roda yang biasa. Roda foldies 20" manakala standard roda basikal yang lain 26"/27.5"/29".
2. Lipat melipat lama-kelamaan akan membuatkan anda sedikit 'malas' untuk membuka lipatan basikal untuk mengangkat dan berkayuh.
3. Tidak sesuai untuk perjalanan jauh.

Secara kesimpulan Basikal Lipat sesuai untuk:
1. Newbies dan keluarga
2. Fokus untuk senaman ringan dengan berkayuh
3. Menggunakan pengangkutan awam
4. Kayuhan jarak pendek
5. Berkayuh di taman-taman rekreasi

+INFO: Semakin kecil roda semakin lebih anda perlu berkayuh untuk satu putaran per minit
+ Ada bermacam jenis basikal lipat dari entry model RM500 - RM10,000.
+ Antara jenama yang popular di Malaysia ialah Dahon, Oribike, Tern, Birdy, Tyrell,  Strida, Java dan Lerun. 




Setelah basikal dilipat

Beza saiz roda basikal lipat dengan basikal biasa
Mudah untuk dibawa di dalam bonet kereta